Friday, November 26, 2010

KERTAS KERJA DR. MULIYADI MAHAMOOD DARI UiTM

PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL

Oleh

Prof. Madya Dr. Muliyadi Mahamood

Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Shah Alam.


Pendahuluan


  • Seni


Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah. Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Hal ini telah melahirkan kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden, mengikut zaman dan masyarakat yang tertentu. Penghayatan dan penghargaan terhadap seni lazimnya mengambilkira aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya. Seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi.


Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).



  • Seni Visual


Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.


Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).


Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.


Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.


Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan, dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual. Justeru itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja seni.


  1. Konsep dan Kaedah Sejarah Seni Visual


  1. Maksud Sejarah Seni Visual


Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah Seni Visual juga muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop, peranan, dan cabang-cabang yang luas. Sejarah Seni Visual tidak hanya terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-bentuk seni, malahan melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kerja seni itu sendiri, termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik, bahan, makna, pemilik, penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-kemungkinan yang terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.


Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan pelbagai pengalaman yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu. Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual pada dasarnya menerokai akan apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau kesan, peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap sesuatu karya. Oleh kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung dengan bidang-bidang ilmu dan kebudayaan yang luas, justeru itu bidang Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu bidang kajian yang berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan peranan seni dalam kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi Mahamood, 1993; Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).


  1. Tujuan Sejarah Seni Visual


Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi, fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).


  1. Kaedah Sejarah Seni Visual


Dalam bidang Sejarah Seni Visual, karya seni merupakan dokumen sejarah atau sumber primer yang penting, sementara apresiasi atau penghayatan seni menjadi asasnya. Kaedah mendekati atau menganalisis karya seni boleh dilakukan dengan mengajukan beberapa soalan asas tentang karya yang sedang dikaji ataupun dihayati.


Misalnya, ia boleh dimulai dengan bertanya apakah objek itu?; untuk siapa ia dibuat?; ia dibuat daripada apa?; bagaimana keadaannya sekarang?; adakah ia satu-satunya objek sedemikian?; apakah maksudnya?; apakah yang cuba disampaikan?; bagaimanakah ia dipersembahkan?; dan siapakah yang menghayatinya?. Atau, ia boleh dimulakan dengan soalan siapakah pembuatnya?; di mana ia sekarang?; bagaimana ia berada di tempatnya kini?; bila ia sampai di tempatnya kini?; siapa yang mendapatkannya?; mengapa?; berapakah harganya?; siapa pemilik asalnya?; siapa yang menghayatinya? (Pointon, 1994: 61). Persoalan-persoalan asas ini menjadi dasar dalam mengenali serta memahami sesebuah karya seni itu dengan lebih dekat dan bermakna. Ini yang ditegaskan oleh Hauser dalam tulisannya, bahawa dalam usaha memahami karya seni, kita tidak terus menerangkannya, tetapi cuba menyesuaikan diri kita dengannya.


Berbicara tentang karya seni, Hauser menulis:


"We do not go straight towards them, but circle around them. Each generation sees them from a different point of view and with a fresh eye; nor is it to be assumed that a later point of view is more apt than an earlier one. Each aspect comes into sight in its own time, which cannot be anticipated or prolonged; and yet its significance is not lost, for the meaning that a work assumes for a later generation is the result of the whole range of previous interpretations." (Hauser, 1959 in Fernie, 2001: 205).


Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira aspek-aspek bentuk (aspek-aspek formal, termasuklah pengolahan karya dan gaya penampilan) dan makna (ikonografi: tersurat dan tersirat). Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan dengan konteks penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa: sejarah dan kebudayaan.


(b) Konsep dan Kaedah Kritikan Seni Visual


(i) Pengertian Kritikan Seni Visual


Kritikan seni bermaksud wacana tentang sesuatu karya seni sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan (Feldman, 1994). Kritikan seni dilakukan daripada pelbagai sudut berasaskan satu sistem atau strategi yang teratur, merangkumi aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Kritikan seni penting dalam perkembangan seni visual kerana ia mempengaruhi profesion karyawan, persepsi dan daya apresiasi khalayak, cita rasa dan strategi pengumpul seni, pemilik galeri serta promoter seni. Justeru itu, kritikan seni yang baik boleh dianggap sebagai suatu alat terbaik menentukan arah perkembangan seni pengkarya dan seni visual secara umumnya.


(ii) Tujuan Kritikan Seni Visual


Kritikan seni memainkan peranan penting dalam perkembangan seni visual baik bagi pengkarya mahupun khalayak secara umumnya. Bagi pengkarya, kritikan boleh membantu mereka mempertingkatkan profesion menerusi penambahbaikan dalam proses pengkaryaan dengan mengambil kira reaksi serta maklum balas dari pengkritik mahupun khalayak. Bagi penghayat pula, kritikan seni boleh mempertingkatkan tahap apresiasi serta persepsi mereka terhadap seni visual secara umumnya.


Kritikan seni merangkumi pelbagai persoalan asas dan ruang litup seni visual, seperti bentuk, makna dan konteksnya. Dalam kritikan seni, pengkritik perlu mengambil kira aspek hal benda, komposisi, dan kandungan karya menerusi strategi terancang yang melibatkan aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Sesebuah karya kritikan seni boleh terhasil dalam bentuk jurnalistik mahupun ilmiah, diterbitkan serta disebarkan untuk pengetahuan pengkarya dan khalayak.


Dalam kritikan, pengkritik seni menyentuh persoalan-persoalan yang meliputi aspek perasaan, idea, serta pelbagai perkara lain yang diungkapkan pengkarya melalui karyanya, sama ada dalam bentuk catan, lukisan, arca, periklanan, kartun, komik, reka bentuk laman web, poster dan seumpamanya. Pengkritik berperanan sebagai penghubung antara pengkarya dan khalayak menerusi hasil kritikannya yang mengupas kepelbagaian nilai serta makna. Dengan kata lain, pengkritik juga berupaya mengupas serta memperjelaskan nilai-nilai yang tersurat dan tersirat dalam sesebuah karya seni untuk makluman khalayak dan pengkarya itu sendiri. Menurut Feldman (1994), pengkritik mempunyai dua peranan besar, iaitu mengulas organisasi estetik dan pengolahan teknik karya, di samping menyentuh persoalan-persoalan minat serta nilai yang disimbolkan dalam sesebuah karya seni.


Oleh kerana kritikan seni mengulas, menganalisis, menginterpretasi, dan menilai karya seni visual yang juga merupakan objek budaya, maka ia pada dasarnya berhubungan dengan hal ehwal kebudayaan. Dalam konteks ini, kritikan seni sebenarnya turut berperanan dalam menentukan arah perkembangan sesebuah kebudayaan. Karya seni adalah cerminan masyarakat dan budaya yang terungkap melalui pengucapan tatabahasa visual pengkarya. Pengkritik mengupas persoalan-persoalan tersebut, justeru memaklumkan kepada khalayak tentang kedudukan pengkarya dan kebudayaan secara umumnya. Pertimbangan serta penilaian pengkritik boleh dijadikan landasan serta panduan penambahbaikan mahupun penentuan arah seni dan budaya. Dalam konteks ini, tujuan-tujuan kritikan seni adalah untuk membimbing, memberi kefahaman dan penjelasan kepada khalayak mengenai sesuatu karya yang dikupas. Menerusi pertimbangan serta penilaian yang dilakukan, pengkritik berupaya memperjelaskan ataupun menyelesaikan isu-isu berkenaan estetik dan kebudayaan. Justeru itu, kritikan seni pada dasarnya tidak terpisah daripada konteks kebudayaan pengkarya, masyarakat mahupun tamadun.


Kritikan seni boleh mempengaruhi profesion pengkarya kerana ia merupakan suatu bentuk reaksi, maklum balas, pengesahan malahan pengiktirafan terhadap sesuatu produk seni yang dihasilkan. Menerusi maklum balas itu, pengkarya boleh menambahbaik mutu atau gaya karya mereka secara berterusan. Proses penambahbaikan ini boleh menyentuh persoalan idea, konsep, teknik, tema, hal benda, atau gaya persembahan secara umumnya. Hal ini demikian kerana kritikan seni lazimnya menyentuh kepelbagaian aspek itu, berdasarkan kemampuan serta pendekatan yang diambil oleh pengkritik.


Bagi pemilik galeri dan promoter seni, kritikan boleh membantu mereka mempromosi serta menjual karya seseorang pelukis. Ia boleh mewujudkan suatu bentuk komunikasi antara pemilik galeri atau promoter seni dengan pembeli atau khalayak. Kritikan membolehkan pemilik galeri dan promoter seni mengenalpasti bakat-bakat baru di samping terus mempromosikan pelukis-pelukis sedia ada. Meskipun dalam etika kritikan, seseorang pengkritik tidak seharusnya secara langsung bekerjasama dengan pemilik galeri ataupun promoter seni bagi menaikkan seseorang pengkarya ataupun sesuatu produk, tulisannya yang neutral itu boleh mempengaruhi khalayak secara umumnya.


Bagi pengumpul karya seni, kritikan boleh mempertingkatkan nilai sesuatu karya yang mereka miliki. Sesebuah karya seni akan menjadi lebih terkenal jika ia diperkatakan serta dibicarakan secara meluas, justeru itu memungkinkan ia dikenali lebih ramai dan menjadi popular. Kepopularan karya boleh mempertingkatkan nilai komersilnya. Di samping itu, kritikan juga berupaya mengesahkan atau membenarkan persepsi atau tanggapan pengumpul seni terhadap sesuatu karya yang mereka miliki atau berhajat untuk dibeli. Bagi muzium, galeri seni awam dan swasta, serta yayasan kesenian yang mengumpul seni, kritikan seni berupaya memperkayakan dokumentasi serta bahan rujukan koleksi, di samping memberi mereka panduan bagi membeli karya-karya yang baru, baik dan berpotensi.


Penulisan sejarah serta kritikan seni merupakan dokumen-dokumen penting bagi pengkaji dan khalayak untuk mengenali sesebuah karya itu dengan lebih berkesan dan bermakna. Hal ini memungkinkan mereka mempertingkatkan kefahaman, persepsi dan daya apresiasi tentang seni secara umumnya. Menerusi kritikan seni, khalayak boleh memahami dengan lebih lanjut akan sesebuah karya itu, misalnya dari sudut tema, teknik, gaya dan makna. Khalayak memahami aspek bentuk dan makna karya secara tersurat dan tersirat, bukan melihat secara luaran sahaja kerana kritikan seni menampilkan diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan yang membolehkan mereka meletakkan seni pada konteks ruang dan masanya.


Bagi sejarawan dan pengkaji seni, kritikan seni boleh membantu usaha mereka meletakkan kedudukan seseorang pengkarya mahupun produk seni itu dalam peta perkembangan seni yang lebih luas. Hal ini menunjukkan bahawa, selain daripada menjadi wadah pendidikan, kritikan seni juga boleh menjadi dokumen-dokumen sejarah yang penting lagi berharga.


(iii) Kaedah Kritikan Seni Visual


  • Pendekatan Kritikan Seni


Secara umumnya, kritikan seni terbahagi kepada dua pendekatan asas, iaitu ilmiah, dan jurnalistik. Pendekatan ilmiah adalah bentuk penulisan yang terperinci lagi sistematik dan lazimnya terbit dalam jurnal, majalah dan buku. Pendekatan ilmiah selalunya disokong oleh fakta serta sumber-sumber rujukan dan kajian lain yang menyokong serta memperkukuhkan sesuatu hujahan. Penulisan seperti ini lazimnya dilakukan oleh sarjana seni, misalnya profesor, kurator muzium, penyelidik, dan penulis. Pendekatan jurnalistik pula berbentuk laporan, penerangan dan penulisan diskriptif yang terbit dalam surat khabar dan majalah, atau disiarkan melalui radio dan televisyen untuk tatapan umum


  • Strategi Kritikan Seni


Kritikan seni amat berkait rapat dengan apresiasi seni yang terbentuk menerusi kefahaman terhadap aspek-aspek asas karya seperti hal benda, komposisi dan kandungan. Kebolehan menangani serta menghuraikan ketiga-tiga aspek ini akan memberi laluan kepada penghasilan kritikan yang lebih bermakna lagi berkesan. Dalam strategi pertama iaitu diskripsi, seseorang pengkritik perlu mengenalpasti ciri-ciri fizikal karya, seperti pengolahan formal dan mengenal pasti imejan. Dia perlu mengumpul data-data asas atau data-data visual karya dan fakta-fakta pengkarya seperti biodata, tajuk, medium, dan tarikh: jelasnya, menyediakan suatu inventori akan perkara-perkara utama itu.


Pada tahap analisis karya, pengkritik perlu menganalisis fakta-fakta visual, contohnya dari sudut pengolahan komposisi, garis, cahaya, bentuk, warna, permukaan, dan jalinan. Ini dihubungkan dengan persoalan proses dan teknik serta mencari pertaliannya dengan persoalan idea dan perasaan misalnya. Menerusi strategi ini, pengkritik seharusnya berupaya mengenal pasti kepelbagaian hal benda dalam karya yang antara lain merangkumi figura, alam semula jadi, alam persekitaran dan objek buatan manusia. Keupayaan mengenal pasti ini seharusnya diiringi dengan kebolehan membaca bentuk penampilan imejan yang mungkin berkaitan dengan pelbagai aliran dan gaya seni, baik yang bersifat tradisi, moden, pascamoden mahupun kontemporari. Pengetahuan ini memungkinkan pengkritik membuat perbandingan serta perhubungan di antara satu karya dengan karya-karya yang lain, ataupun satu gaya dengan gaya-gaya yang lain. Hal ini amat penting bagi membentuk pandangan dan pertimbangan kendiri oleh pengkritik.


Komposisi merangkumi aspek-aspek asas seni reka, media dan teknik. Pengkritik sewajarnya berupaya menganalisis pengolahan komposisi karya dengan memberi tumpuan kepada prinsip dan unsur seni serta memahami kepelbagaian bentuk tatabahasa visual seperti abstrak, realistik, naturalistik, dan separuh abstrak yang digunakan pengkarya bagi mengungkapkan bentuk dan makna karyanya. Pengetahuan pengkritik mengenai penggunaan media dan teknik akan mempertajamkan kritikannya kerana dia berupaya menyelami kaedah-kaedah pembentukan sesebuah karya dengan lebih mendalam.


Berdasarkan analisis hal benda dan komposisi, seseorang pengkritik berupaya melakukan interpretasi iaitu
mengenal pasti kandungan sesebuah karya yang mengungkapkan sesuatu tema, makna, dan fungsi. Dalam hal ini, pengkritik berusaha meletakkan bentuk dan makna karya pada konteksnya. Rangkuman ketiga-tiga proses mengenal pasti dan menghuraikan aspek-aspek asas ini memungkinkan pengkritik membuat pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya.


Kritikan seni memerlukan daya kefahaman individu yang baik terhadap pelbagai aspek karya seni visual yang dibicarakan. Justeru itu, untuk menjadi seorang pengkritik yang baik, seseorang individu itu sewajarnya mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni serta berpengetahuan luas. Dia seharusnya berupaya berkomunikasi dengan baik dan jelas, sama ada secara lisan ataupun tulisan. Dia juga sewajarnya bersifat terbuka, bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan khalayak, serta mempunyai kejelasan pemikiran dan ekspresi. Aspek-aspek ini amat perlu bagi seseorang pengkritik dalam menghasilkan pertimbangan dan penilaian yang berbentuk "formalisme, ekspresivisme, mahupun instrumentalisme" (Feldman, 1994). Pertimbangan dari sudut formalisme adalah pertimbangan berasaskan aspek-aspek keindahan dan harmoni; ekspresivisme ialah pertimbangan berdasarkan keupayaan menyampaikan perasaan dan idea; sementara instrumentalisme bermaksud pertimbangan berdasarkan keberkesanan karya sebagai suatu wadah atau alat, contohnya dalam konteks sesuatu institusi, masyarakat dan negara.


Rujukan

Bender, J.W. and Blocker, H.G., 1993. Contemporary Philosophy of Art. New Jersey: Prentice-Hall.

Gaitskell, C.D. dan Al Hurwitz, 1970. Children and Their Art. New York: Harcourt Brace and World Inc.

Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History. New York: Alfred A. Knopf.

Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History
dalam Eric Fernie, 2001. Art History and Its Methods. New York: Phaidon Press Limited.

Hornby, A.S., 1974. Oxford Advanced Learner's Dictionary of Current English. Oxford University Press.

http://www.newcastle.edu.au/discipline/fine-art/theory/analysis/panofsky.htm

Lester, P. M., 2000. Visual Communication: Images with Messages. Wadsworth Thomson Learning.

Martin, J., 1986. Longman Dictionary of Art. Longman.

Mbiyo Saleh, 1987. Estetika. Jakarta: Yayasan Umbi.

Muliyadi Mahamood, 1993. Mendekati Seni Lukis dan Seni Reka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muliyadi Mahamood, 2000. Sejarah Seni: Zaman Pertengahan hingga Abad ke 20. Kuala Lumpur: Univision Press.

Muliyadi Mahamood, 2001. Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era Pluralis. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Muliyadi Mahamood, 2004. The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993). Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Ocvirk, O. G., Stinson, R. E., Wigg, P. R., Bone, R. O., and Cayton, D. L., 1998. Art Fundamentals: Theory and Practice. McGraw-Hill.

Osborne, H., 1979. The Oxford Companion to Art. Oxford University Press.

Pointon, M., 1994. History of Art. London and New York: Routledge.

Preble, D., Preble, S. and Frank, P., 1999. Art Forms. New York: Longman.

Read, H., 1959. The Meaning of Art. Penguin Books.

Rupa dan Jiwa. Katalog Pameran Rupa dan Jiwa: Kesinambungan Tradisi Dalam Seni Rupa Malaysia Sezaman. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, 15 Jun-2 Julai, 1993.

S.H. Nasr, 1989. Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus. Terjemahan Baharudin Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sidi Gazalba, 1977. Pandangan Islam tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Syed Ahmad Jamal, 1992. Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.

Smagula, H., 1991. Re-Visions: New Perspectives of Art Criticism. New Jersey: Prentice Hall.

Stern, A., 1973. "The Child's Language of Art" dalam In Child Art: The Beginnings of Self-Affirmation. Edited by Milda Present Lewis. Berkeley: Diable Press Inc.

Tansey, R. G. dan Kleiner, F. S., 1996. Gardner's Art Through the Ages. New York: Harcourt Brace College Publishers.

Zakaria Ali, 1989. Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.








KERTAS KERJA DR. ABU DARI UNIVERSITI MALAYA

Portfolio sebagai Bahan Penaksiran dalam Seni Visual


Terdapat enam aspek pengetahuan yang boleh dikaitkan dengan disiplin pendidikan seni visual. Dari segi strategi penilaian, kesemua aspek ini sebenarnya dirumus berasaskan kepada tiga domain tingkah laku yang biasa dikenali dengan : kognitif, psikomotor, dan afektif.


Aspek yang dimaksudkah ialah:


  1. Pengetahuan tentang kandungan disiplin/bidang (content areas)
    – termasuklah fakta, idea dan generalisasi yang berkait dengan disiplin tersebut.
  2. Pengetahuan tentang kemahiran dan proses yang integral kepada bidang – dikenali juga sebagai pengetahuan prosedur (procedural knowledge).
  3. Pengetahuan tentang mengapa prosedur dan proses digunakan dan dalam keadaan yang bagaimana – sering disebut sebagai pengetahuan syarat dan peraturan (conditional knowledge)

  4. kemahiran metakognitif (metacognitive skills)
  5. Pengetahuan yang berkait dengan kemahiran motor, seperti bagaimana memanipulasi alat dan bahan dalam proses penghasilan
  6. Pengetahuan terhadap sikap – ini termasuklah maklumat tentang sifat dan ciri, disposisi, motivasi, minat, nilai, kecenderungan, atau keadaan emosi pribadi dan tabiat pemikiran.



Dalam konteks penaksiran untuk penghasilan seni, strategi penilaian adalah lebih sesuai dibuat berasaskan kepada performance. Ini adalah kerana asas performance dianggap
lebih autentik berbanding dengan penaksiran berbentuk standard atau formal, terutamanya apabila sasaran adalah tertumpu kepada mengukur proses dan pembabitan.


Secara amalannya, bahan yang digunakan dalam strategi penaksiran berasaskan performance melibatkan antaranya:


  • Portfolio
  • Jurnal, diari, atau log
  • Integrated performances
  • Perbincangan kumpulan
  • Pameran
  • Rakaman audio dan video
  • Komputer



Walau bagaimana pun, bagi maksud perbincangan dalam kertas kerja ini, bahan yang
disentuh adalah portfolio sahaja memandangkan cirinya yang agak komprehensif dan selaras dengan keperluan format dalam penilaian di peringkat STPM.


Apakah portfolio?

Portfolio adalah satu koleksi yang berguna kepada kerja pelajar bagi mempamerkan pembabitan usaha, kemajuan dan pencapaian pelajar dalam sesuatu projek atau bidang penglibatan. Jadi, koleksi tersebut haruslah menampilkan bahan bukti seperti berikut:

  • Penglibatan pelajar tentang sesuatu tugasan atau projek yang dipilih
  • Kriteria bagi pemilihan
  • Kriteria bagi asas penilaian
  • Bukti penilaian kendiri atau refleksi pelajar

Secara ringkasnya, sebuah portfolio itu mestilah menunjukkan koleksi kerja terpilih pelajar yang melambangkan usahanya yang terbaik, sampel hasil kerja yang menampakkan matlamat untuk penilaian, dan dokumen tentang fasa pembentukan dan perkembangan tugasan atau projek yang terlibat.


Apakah ciri- ciri portfolio yang berkesan?

Penaksiran portfolio adalah satu proses yang pelbagai dimensi dengan ciri- ciri berikut:

  • Proses yang berterusan melibatkan bentuk penilaian formatif dan sumatif bagi memantau kemajuan pelajar dalam mencapai sesuatu matlamat yang tertentu.
  • Proses yang pelbagai dimensi, termasuk cara pelajar menunjukkan hasil berbagai bentuk dan proses yang menggambarkan aspek pembelajaran pelajar yang berbagai
  • Proses yang menyediakan refleksi yang kolaboratif bagi pelajar untuk membuat refleksi tentang proses pemikiran mereka dan introspektif metakognitif semasa mereka memantau daya pemahaman mereka, dan menggambarkan pendekatan terhadap sesuatu kaedah menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, juga memerhati kefahaman dan kemahiran mereka yang timbul


Apakah fasa dalam enyediaan portfolio?

Sebagai satu rangka kerja, portfolio disediakan melalui fasa-fasa berikut, iaitu:


Fasa Satu:
Pengurusan dan perancangan.

Fasa ini adalah peringkat permulaan dalam penyediaan sesebuan portfolio di mana pelajar membuat keputusan tentang penglibatan yang akan dibuat. Pada peringkat ini, pelajar meneliti secara dekat tentang soalan dan permasalahan bagi memahami matlamat dan tujuan portfolio serta statusnya sebagai satu cara memantau dan menilai kemajuannya sendiri. Sebagai panduan, soalan utama yang perlu difikirkan dalam proses penentuan atau membuat keputusan tersebut adalah:

  • Bagaimanakah saya merancang masa dalam usaha menyediakan bahan dan penyiapan tugas yang boleh menggambarkan apa yang saya belajar?
  • Bagaimanakah saya menyusun dan mempersembahkan item, bahan, dll, yang akan dikutip dan dihimpun
  • Bagaimanakah portfolio perlu disediakan?


Fasa Dua:
Koleksi

Pada peringkat ini, proses melibatkan penghimpunan artifak dan hasil yang berfaedah bagi melambangkan pengalaman dan matlamat pembelajaran pelajar. Oleh itu pelajar perlu mengambil kira keputusan yang boleh menampakkan persoalan konteks dan kandungan portfolio berdasarkan hasrat dan tujuan yang telah dikenal pasti. Ini bererti bahawa bahan koleksi yang dibuat mengandungi pemilihan tentang beberapa hal, iaitu:

  • hal benda (subject matter)
  • proses pembelajaran
  • projek, tema dan dll. yang berkaitan

Yang penting ialah semua pemilihan bagi bahan koleksi ini mestilah menggambarkan kriteria dan standard penilaian yang telah ditentukan.


Fasa Tiga:
Refleksi

Di mana mungkin, portfolio mesti menampakkan bukti tentang adanya unsur refleksi metakognitif pelajar mengenai proses pembelajarannya dan pemantauan tentang pemahaman terhadap pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Refleksi ini boleh dibuat dalam bentuk log, diari, journal yang dapat menyatakan pengalaman , proses pemikiran, dan tabiat pemikiran yang pelajar alami dan bentuk sepanjang penglibatan dalam projek yang berkenaan. Selain, itu portfolio juga perlu mengandungi bahan-bahan lain yang sesuai yang dapat menyatakan produk, proses dan pemikiran


Ciri dan Kandungan Penting Sesebuah Portfolio

Aspek utama bagi portfolio yang baik adalah unsur kedalaman, tanpa mengira jumlah masa yang digunakan. Sebagai bahan penilaian mengikut penaksiran berasaskan performance, sesuatu portfolio itu mestilah:

  • Menyatakan matlamat sesuatu kerja, projek atau tugasan
  • Mendedahkan bukti tentang pembelajaran dalam dalam enam aspek pengetahuan yang disebut di atas – kandungan, proses (langkah-langkah), syarat & peraturan, metakognisi, kemahiran motor, dan sikap pemikiran
  • Menyatakan secara lengkap hubugan antara sesuatu matlamat dengan unit pengajian sesuatu bidang.
  • Menunjukkan carta/ indikator kemajuan (proses)
  • Menunjukkan kejayaan yang signifikan. Hasil yang terbaik dijelaskan dengan nota dan huraian
  • Menyebut dan menyatakan kesukaran pembelajaran
  • Mencatitkan keistimewaan sesuatu hasil
  • Menyatakan proses pemilihan, refleksi, dan justifikasi
  • Menunjukkan maklumat didaktik (iaitu bahan bercatat oleh pelajar dan juga guru dengan tarikh yang berkait dengan bukti penyediaan, dan penyempurnaan tugasan, tujuan dan sebab, dsb.
  • Refleksi tahap keakuran kepada standard perfomance



Kandungan Untuk Senarai Semak dalam Penyediaan Portfolio

Berikut adalah perkara yang boleh dijadikan bahan dalam senarai semak untuk proses menyediakan sebuah portfolio.

  1. Bahan-bahan:
  • Catatan (surat) pengenalan kepada portfolio, kenyataan sebab dan tujuan penyediaan.
  • Catatan (surat) ringkasan yang menceritakan isi utama serta penjelasan pelajar tentang kesan mod pemikiran yang berkait dengan isu, sejarah idea dalam bidang yang terlibat.
  • Jadual Kandungan atau kenyataan tentang cara penyusunan isi portfolio
  • Bahan dan catatan tentang cara penyelesaian pelajar mengenai tugasan yang diberi:
    • Nota tentang pendapat pelajar mengenai masalah, interpretasi dan kesan
    • Idea dan sumbang saran terhadap penyelesaian masalah
    • Bahan hasil penyelidikan dan sumber yang membantu pelajar menyelesaikan masalah atau mendapatkan panduan bagi meneruskan tugasan atau projek
    • Sketsa, lakaran kajian, draf yang membantu pelajar dalam proses menyelesaikan masalah
  • Sampel penyudah bagi tugasan dan bahan-bahan, termasuklah:
    • Contoh hasil atau bukti visual yang berkaitan
    • Kenyataan penilaian kendiri tentang proses yang pelajar alami dalam kerja penghasilan
    • Catitan ringkas mengenai hujah yang menyokong penilaian pelajar tentang portfolio. Hujah tersebut mestilah mengambil kira situasi dan aspek pengetahuan yang disebutkan di atas yang disediakan dalam butiran yang jelas tentang alasan, jangkaan dan cabaran
















Rujukan


Bettie, D. Kay. (1997). Assessment in art education. Worcester, MA: Davis Publication

Paulson, F.L. Paulson, P.R. and Meyer, CA. (1991, February). "What Makes a Portfolio a Portfolio?" Educational Leadership, pp. 60-63.

KERTAS KERJA DR. ABU DARI UNIVERSITI MALAYA

TEORI PENGHASILAN


MENANGGAPI IDEA DAN PENGUCAPAN SENI


1. SOAL IDEA


  1. Mengenal dan Memahami Idea


Idea sukar dihurai tetapi kita tahu bahawa semua hal pembabitan kita bermula dari idea. Sungguh pun memperkatan idea adalah kerja yang sulit, kita masih boleh memahaminya melalui keperihalan yang tertentu. Mengikut Frank Cheatham, Jane Cheatham dan Sheryl Haler (1983), untuk mengenal idea kita perlu pecahkan pengertian kepada beberapa unsur asas yang boleh ditafsir secara berasingan. Dalam saranan tersebut, pengertian idea diinterpretasi dengan melihat kaedah yang membabitkan unsur aktiviti dan penglibatannya. Unsur-unsur yang dimaksudkan adalah awareness, interpretasi, penerokaan , penggarapan dan sebagainya. Sebenarnya, kesemua unsur ini mempunyai peranan penting dalam proses pengkaryaan dan reka cipta.


Kemampuan manusia berfikir membolehkan ia mencari perkara atau isi kepada pemikirannya. Isi pemikiran yang mantap akan kekal dan tertera sebagai konsep. Konsep adalah satu tanggapan yang membawa pengertian umum (generic) tentang sesuatu perkara atau keperihalan dan sering dinyatakan secara formal.


Huraian dalam American Heritage Dictionary
menyebut
bahawa idea itu sebagai:

  • Satu tipa induk (archetype), iaitu, keperihalan yang paling asasi bagi sesuatu perkara.
  • Representasi mental yang membentuk isi pemikiran
  • Rangka, pelan, skim atau kaedah
  • Intisari kepada situasi tertentu; signifikan


Daripada empat huraian di atas huraian kedua, dari segi nilai praktikalnya, adalah yang paling berfaedah kepada amalan pelukis dan pereka kerana pentafsiran tersebut boleh langsung dijadikan sasaran bagi merangka langkah dalam usaha seseorang untuk mencipta dengan memenuhi hasrat dan matlamat komunikasi.


  1. Peranan idea dalam seni


Jika kita mengambil andaian bahawa seni visual itu merupakan satu bahasa dan berfungsi untuk maksud menyampaikan sesuatu samada di peringkat pribadi mahu pun sosial, maka idea membutirkan hasrat dan menjadi dasar kepada komunikasi. Andaian ini juga mengambil kira bahawa setiap bentuk seni harus bermula dengan satu idea atau konsep. Seniman atau pereka yang memahami keutamaan tentang peranan idea dalam seni akan lebih mampu untuk membentuk penyataan yang berkesan dan lebih berjaya berbuat demikian. Walau bagaimana pun, pendekatan yang diambil oleh setiap seniman atau pereka bagi mendapat dan membina idea itu berbeza. Ini adalah kerana masing-masing mempunyai cara dan gaya penguasaan yang berlainan tentang karya atau hasil rekaan masing-masing. Bagi setiap seniman atau pereka muda, proses penguasaan ini selalunya bermula melalui latihan dan asuhan yang menggunakan pendekatan yang analitikal kepada pembelajaran, pemahaman dan pengenaan idea. Lama-kelamaan, proses tersebut akan membentuk satu kaedah yang tersendiri bagi mengenal, merumus dan menguasai idea dan ekspresi. Ini bererti bahawa walau pun gaya pendekatan seseorang pelukis atau pereka itu nampak berbeza, terdapat satu landasan yang wujud sebagai peraturan umum dalam disiplin seni.


Perbincangan mengenai fungsi bahasa sering menyentuh tentang bentuk dan kaedah pengutaraan idea. Lazimnya, komunikasi melalui bahasa pertuturan dan persuratan ialah lebih berbentuk diskursif. Ini berbeza sedikit daripada bahasa seni visual yang lebih lazim berbentuk presentational. Kandungan utama dalam bahasa visual ialah imej yang sering dipersembahkan sebagai gambar atau bentuk (form). Hakikatnya, manusia memang telah lama berkomunikasi melalui gambar. Daripada imej gambar, kita mendapat banyak maklumat tentang pembabitan aktiviti dan kebudayaan manusia yang menghasilnya. Yang juga jelas adalah gambar ditampilkan dalam berbagai peringkat abstraksi – dari yang paling representational hingga kepada yang paling abstrak dalam bentuk simbol tulin. Simbol pictographic merakamkan satu tingkat abstraksi. Lukisan gua melambangkan sejenis haiwan tertentu. Hieroglyph Mesir Kuno dan Kaligrafi Cina yang lebih abstrak melambangkan manusia. Kaum India Amerika menggunakan simbol bulatan untuk melambangkan idea tentang "semua."



  1. Idea dan visualisasi


Proses pembentukan idea sebagai satu representasi mental yang menjadi isi pemikiran bermula dengan aktiviti berfikir. Walau pun seniman lebih cenderung untuk menyampaikan ideanya menggunakan orientasi dan media visual, punca sebenarnya masih berlaku daripada proses minda. Ini bermaksud bahawa seseorang pelukis itu perlu bergantung kepada pemikirannya yang ada, walau pun seberapa minimum, bagi menjayakan visualisasinya. Jadi, di sini dapatlah difahamkan bahawa visualisasi itu adalah hasil dari sesuatu idea, dan bukannya idea itu sendiri.


  1. Pendekatan Menjana Idea


Di samping mengenal pasti faktor luaran seperti persekitaran dalam usaha menjana dan mengembangkan idea, manusia juga mampu membentuk ciri tingkah laku yang dapat membantu melahirkan dan memperkayakan idea. Sebagai tunas pemikiran, idea terpancar dan terhimpun dari daya pemikiran seseorang, menghasilkan berbagai tahap penglibatan psikologi – persepsi, emosi dan intelek. Isi pemikiran ialah kandungan maklumat. Sedangkan maklumat adalah butiran ilmu dan pengetahuan tentang berbagai perkara yang diperoleh dan tersimpan di dalam pemikiran. Kandungan maklumat secara umumnya boleh dikategorikan kepada empat jenis data: iaitu, data faktual, data emosional, data pengalaman (experiential), dan data khusus. Data faktual adalah berkait dengan pengetahuan yang tumbuh dan disokong oleh bukti realiti sebagai satu bidang keilmuan seperti ilmu sains, matematik sejarah dan lain-lain. Ini berbeza dari data emosional yang dikatakan terdiri dari butiran maklumat yang langsung diperoleh melalui pengalaman rasa dan perasaan seperti marah, ceria, sakit, sensitif dan sebagainya. Manakala data pengalaman pula membabitkan kesemua unsur pengalaman yang diperoleh melalui peristiwa dalam hidup seperti kemerdekaan, kepimpinan, keyakinan dan lain-lain. Data dalam kategori ini merangkumi juga kemahiran yang terbentuk melalui pemerhatian dan pengulangan. Akhir sekali ialah data khusus. Ia merujuk kepada kumpulan pengetahuan yang berkait dengan ilmu dan keahlian seseorang. Contohnya, ilmu reka bentuk adalah sejenis maklumat bercirikan data khusus.


Maklumat dalam setiap kategori di atas boleh disedut melalui dua sumber utama. Yang pertama ialah yang datang dari ilmu yang sedia tersimpan di dalam minda. Maklumat begini boleh terus diaktif dan digunakan untuk tujuan yang berkaitan. Manakala yang kedua ialah yang dapat memperkukuh atau memperkayakan maklumat yang sedia ada, diperoleh melalui penyelidikan. Penyelidikan boleh dibuat dalam berbagai cara untuk mengenal, meneliti, dan membuktikan sesuatu maklumat yang menjadi persoalan. Semua usaha-usaha ini boleh menjadi saluran kepada proses menjanakan idea.


  1. Sumber idea


Proses menjana idea adalah bermacam dan boleh berlaku dalam berbagai cara. Dalam usaha dan proses berkarya, idea boleh dihidupkan melalui berbagai kaedah dengan membuat rujukan dari berbilang sumber. Walau pun Buckner (1995) menyenaraikan hanya empat kategori sumber, iaitu: sejarah, persekitaran, eksperimental dan individu, kita boleh kembangkan kategori tersebut kepada yang berikut; iaitu:

  • homages – dorongan dari semangat menghargai tuan/ pendewaan/idola/ikononogi
  • media massa – zaman maklumat, e.g. McLuhan "medium is a message." Seni propaganda
    • pemerhatian – persepsi dan ilusi, alam benda
  • persekitaran – alam semulajadi dan alam buatan, e.g landskap
  • peristiwa – mitos, sejarah, semasa, exotic,
    • imaginasi – alam pribadi, idiosyncracy, mistik, eccentricity
  • pengalaman – kesan sensitiviti terhadap apa yang dialaminya sama ada dari persekitaran diri mahu pun alam sekeliling. Dinukil dan dihidupkan dengan berbagai kesedaran baru tentang ciri masyarakat kita.
  • imbauan (reflection)/ mimpi, ingatan lampau – pahit, manis dsb untuk dirakam, alegori, tamsil dsb contoh : Surrealisma, eccentricity


  1. Teknik dan idea


Soal penciptaan melibatkan kedua-dua aspek pengolahan – isi dan kaedah. Dari situ muncullah pengertian hasil dari adunan idea dan teknik. Soal teknik merangkumi bahan dan penggubalan bahan melalui berbagai pendekatan dan peralatan. Dalam konteks penghasilan seni, soal ini sering dirujuk sebagai persoalan mencari keserasian antara idiom dan medium dalam membentuk dan merealisasikan stail dalam karya atau rekaan.


Seniman dan pereka memang sentiasa mencari dan meneroka cara baru untuk menyatakan responsnya terhadap emosi dalaman dan juga dunia luaran. Ini melibatkan sekali gus usaha mereka untuk mencuba bahan dan media baru dalam berkarya. Sebagai contoh, Jackson Pollock pernah menggunakan cat enamel untuk dititis ke atas kanvas yang lebar untuk menghasilkan kesan irama dalam jalinan yang kompleks. Begitu juga bahan sintetik yang baru telah dapat menyediakan seniman dengan satu pilihan baru untuk mendapatkan berbagai kesan yang menarik dan menakjubkan dalam pengkaryaan seni.


Perubahan yang berlaku bermula dari kurun ke 20 hingga ke alaf
yang baru sekarang bukan sahaja wujud dalam bentuk penguasaan teknikal, tetapi juga kebebasan berekspresi, meneroka dalam menggunakan bahan-bahan baru, malah juga perubahan konsep tentang peranan seniman dan seni. Penciptaan sintetik telah membuka banyak peluang kepada seniman dan pereka untuk berkarya dan mencipta dalam berbagai bahan baru. Bahan-bahan seperti resin, akrilik, Lucite dan Plexiglas, malah komputer telah digunakan dalam bidang seni lukis dan seni reka.


Gabungan dalam penerokaan teknik, bahan dan media membuka makna seni dan rekaan dengan lebih luas. Jika dahulu konsep seni visual hanya terhad kepada penguasaan ruang, sekarang unsur masa dijalin sama ke dalam gubahan dan pengkaryaan. Melalui sokongan teknologi terkini, seperti komputer, seni visual dikembangkan bentuk dan pengertian yang menjadi seni multi-media bagi memenuhi citarasa dan kepuasan semasa. Gubahan seni bukan hanya bercambah dari segi dimensi malah juga berpindah dari realiti visual kepada realiti virtual.


2. Penterjemahan Idea dalam Strategi Pengucapan Seni Visual


  1. Kaedah pengucapan melalui imej representasi


    Pengucapan menyarankan penggunaan bahasa. Seni adalah satu bahasa (Goodman, 1976). Sebagai satu bahasa, butir kandungannya diungkap bagi memenuhi sesuatu hasrat dan maksud untuk disampaikan (presentasi). Mesej seni boleh dipersembahkan dalam imej berrepresentasi dalam dua kaedah utama, iaitu dialog dan naratif. Kaedah dialog menyarankan cara dan gaya perhubungan langsung antara penonton dengan imej yang terpapar dalam atau pada karya. Penonton dikatakan berinteraksi terus dengan karya seni sama untuk berkongsi rasa dan perasaan mahu pun untuk menyampaikan hasrat. Terdapat kesan kehampiran (intimacy) antara penonton dengan imej dalam karya. Bagi membolehkan kesan ini berlaku, maka wajah dalam karya ditampilkan secara berhadapan (frontal) dengan penonton. Contoh yang paling lazim tentang penggunaan kaedah ini ialah imej-imej keugamaan seperti dalam Seni Gereja Zaman Pertengahan, Patung Buddha, Hindu dan sebagainya. Kaedah ini juga sering dimanipulasi oleh pereka grafik bagi membangkitkan rasa pemujukan penonton kepada iklan-iklan produk. Mod pemerhatian lebih menekankan kepada aktiviti renungan dan meditasi


Kaedah naratif pula diolah untuk maksud penghuraian, penceritaan, pengkesahan, pengajaran dan sebagainya dengan menggunakan imej yang dipapar secara bersisian atau profil. Corak maklumat yang diperolehi melalui kaedah pemaparan imej cara begini ialah penonton menerima maklumat dari penyampaian seniman melalui gambar yang dilukis. Penonton meneliti atau mengikuti perjalanan mesej dengan "membaca" imej-imej tersebut. Sering juga imej-imej disusun secara bersiri dalam satu aliran yang disarankan oleh seniman atau pengkarya. Contoh seni yang menggunakan kaedah ini ialah lukisan Mesir, Wayang Kulit, dan Seni miniatur Persia.


  1. Makna dalam pengucapan seni visual


Dalam berkarya, seniman akan menentukan subjek atau isi pengutaraan yang perlu ditampilkan melalui karya. Penentuan ini dibuat berdasarkan hasrat dan tujuan sesuatu karya itu dihasilkan. Antara asas penentuan adalah berkait sama ada dengan isu penggambaran (pictorial issues) atau pun isu pengutaraan (presentational issues) atau kedua-duanya sekali.


i. Contoh isu pengambaran adalah seperti:

(a) portrait, Mona Lisa (Persoalan wanita prototaip), Rococo (Dokumentasi

sosial), Bacon (Manusia dan identiti), Van Gogh (Soal Emosi dan Manusia), Picasso (Persoalan fragmentasi manusia).

(b) Nationalisma and Kebebasan (Liberty) (Roman), Neoclassicism (David – "Oath of Horatti" "Death of Socrates"), Romanticism (Francis Goya – "3rd of May"), Delacroix – "Liberty Leading the People"


ii.
Contoh isu pengutaraan adalah seperti:

Soal Form sebagai unsur konkrit kepada pecahan unsur-unsur tampak. Pengolahan bentuk boleh menonjolkan sikap dan worldview seniman bagi sesuatu subjek.

Misalnya. Versi David: Donatello (Remaja tetapi masih keanak-anakan (boyish)- keyakinan diri, (naïve sense of victory), Michelangelo (Remaja, lebih dewasa, merenung masa depan yang tidak pasti Scepticism), Bernini, keresahan, perasaan yang sentiasa begolak.


Konsep ruang:

1. Ruang negatif sebagai menegaskan objek gambaran dalam lukisan

2. Ruang sebagai unsur positif: Fauvisma

3. Ruang sebagai agen aktif, e.g. Daya ruang dalam "Reclining Figure" Henry

Moore

4. Ruang sebagai agen dinamik: Futurist dan Mobile Calder

5. Ruang ilusi dan fizikal dan masa: Futurist dan Seni Installation. 4-Dimensi


iii. Contoh isu adunan pengambaran dan pengutaraan boleh dilihat dalam soal penggunaan media dan teknik yang membabitkan usaha bagi menegaskan makna yang memerlukan tindakan memanipulasi bahan yang boleh memberi kesan tertentu seperti kesuasanaan, dramatis, kehebatan dll.

Contoh: Konsep cahaya dan pengolahannya.

1. Perlambangan (simbol visual – halo – enlightenment dan suci)

2. Simbol fizikal – Stained glass, The Ecstasy of St Theresa.

3. Cahaya sebagai unsur perlambangan dan penggayaan e.g. Sfumato oleh

Leonardo da Vinci, Chiaroscuro oleh Rembrandt, Teneberisma oleh Carravagio, El Greco

4. Cahaya sebagai subjek seni seperti dalam Impressionisma




  1. Pengolahan pengucapan seni visual


Horald Osborne (1979) mengupas seni dan mendakwa bahawa pengolahannya boleh menyampaikan tiga bentuk maklumat:

  • sintaktik – penekanan kepada penghuraian tentang ciri struktur dan bentuk serta pernyataan bahan. Ia tidak meletakkan kandungan (content) sebagai unsur penting. Cenderung kepada pendekatan intelektual dalam pengkaryaan. "Forms as forms"
  • semantik – berlawanan dengan (i), penekanannya adalah kepada pengertian dan makna berdasarkan kandungan. Bentuk hanya sebagai wadah (vehicle) bagi sesuatu maksud. Dalam banyak keadaan, maklumat semantik adalah lebih mengutamakan pengertian bersasaskan konteks dari stail bentuk.
  • ekspresif- penekanan kepada penyampaian rasa dan perasaan dari gubahan dan jalinan (i) dan (ii).


  1. Gaya penampilan


Teknik penggambaran menyentuh soal gaya dan bagaimana imej dipersembahkan kepada umum. Pada amnya, terdapat tiga kaedah utama yang boleh mengarah kepada penekanan emosi, atau intelek, iaitu

  • Imitasi – naturalisma, realisma, superrealisma . Naturalisma bermaksud usaha untuk menggambarkan rupa (appearance) sebenar
  • Idealisasi – terdapat banyak pada imej-imej keugamaan. Pengolahan dibuat menggunakan perkiraan dan formula) untuk maksud menyampaikan rasa keunggulan, penataan secara hieratik, melibatkan exaggeration sama ada dari aspek idea mahu pun form
  • Stailisasi – pertimbangan imej dibuat dengan mengambil kira aspek ciri bahan yang digunakan dan rupa yang akan diserasikan dengan keseluruhan reka bentuk. Pendekatannya lebih berkait dengan masalah rekaan (design issues). Contohnya ialah, gambar dalam motif.
  • Abstraksi – Mengulangi Buckner (1995), abstraksi bermaksud penukaran bentuk atau kualiti sesuatu objek supaya ia mengubah unsur bagi menggambarkan hanya kualiti dasar atau yang asasi (essential) sahaja. Isi penggambaran bukanlah representasi sesuatu benda yang khusus (particular) mengenai rupa atau entiti tetapi lebih menyatakan tentang keperihalan sifat dan ciri sesuatu kualiti hal yang mujarad seperti berat atau isipadu sesuatu objek tanpa sebenarkan menekankan sifat luaran.

    Oleh itu ia melibatkan satu perlambangan aspek mujarad bagi maksud menginterpretasi tentang perkara yang bukan objek. Dalam banyak keadaan, sasaran pengambarannya lebih mengutamakan aspek yang elemental dan primeval.


  1. Strategi Penghasilan:
    1. Konsep

      Bates (2000) mencadangkan 6 komponen yang perlu ada dalam rangka unit bagi sesuatu pengajaran, khususnya bagi pendekatan berasaskan orientasi penghasilan dalam seni visual. Komponen-komponen itu adalah:

  • Tema
  • Matlamat
  • Konsep
  • Examplar budaya
  • Skop dan urutan pengalaman seni
  • Prosedur penilaian


Yang dimaksudkan dengan konsep di sini ialah sesuatu yang menggambarkan maklumat kognitif bagi menyatakan tahap kefahaman seseorang tentang seni. Ringkasnya, konsep dalam hubungan ini, merujuk kepada idea umum yang boleh diaplikasi dalam penghasilan seni. Sebagai Bates menjelaskan:

  • Konsep boleh berupa istilah perkamusan
  • Konsep menghuraikan ciri
  • Konsep menyatakan matlamat dan fungsi
  • Konsep mengandungi maklumat


Huraian lanjut tentang pengertian konsep dalam hubungan pengetahun seni visual dibincang dalam kertas kerja Penaksiran dalam Seni Visual.


  1. Bentuk Penghasilan

Penghasilan dalam seni visual melibatkan dua bentuk, iaitu:

  1. Karya
  2. Rekaan


  1. Prosedur Penyediaan

Walau pun kedua-dua bentuk mempunyai asas yang sama dari segi penggubalan idea, terdapat sedikit perbezaan tentang prosedur kerja yang terlibat. Ini adalah kerana karya adalah hasil kerja seniman yang lebih tertumpu kepada menampilkan makna dan estetik melalui form, manakala rekaan lebih menekankan keutamaan fungsi dan estetik dalam bentuk. Perbezaan ini dirumuskan, mengikut bentuk masing-masing, sama ada karya atau rekaan, khususnya dalam hal menyatakan proses melalui:

  1. Sketsa
  2. Design brief





























Rujukan:

Buckner, R. (1995). Art and design: Book one. Roseville: McGraw Hill Books

Cheatham, F.R., Cheatham, J.H. and Haler, S.A. (1983). Design concepts and applications. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall

Goodman, N. (1976). Language of art. Indianapolis: Hackett Publishing

Osborne, H. (1979). Abstraction and artifice in the twentieth century art. Oxford: Oxford University Press